Berfikirlah Dengan Betul. 1.

“Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.(4) (Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.(5) . Surah al-Kahfi ayat 4 dan 5.

Ada dikalangan manusia mendakwa Allah mempunyai anak. Sebagaimana kepercayaan orang Yahudi yang percaya Uzair itu anak Allah dan orang Kristian percaya Isa itu anak Allah.

Dalam surah al-Kahfi ini Allah mengutuk mereka kerana mendakwa sesuatu perkara tanpa mempunyai bukti terhadap dakwaan mereka. Dakwaan sesuatu perkara tanpa bukti adalah satu pembohongan.

Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dakwaan yahudi dan nasrani bahawa Allah mempunyai anak adalah fakta yang salah dan satu pembohongan. Mereka tidak menggunakan metodologi berfikir dengan betul apabila mereka mendakwa Allah mempunyai anak kerana dakwaan mereka tidak disertakan bukti.

Ayat ini adalah didikan Allah dan menjadi asas  kepada umat Islam agar memiliki metodologi berfikir yang betul.  Setiap kenyataan perlu dibuktikan kebenarannya atau ia adalah satu pembohongan. Bercakap bohong atau percaya sesuatu perkara tanpa bukti adalah cara fikir yang salah.

Mukjizat al-Quran adalah bukti ia adalah kalamullah. Apa yang diketahui oleh manusia secara terus melalui membaca al-Quran adalah satu fakta yang benar.

Apa yang difahami daripada al-Quran melalui kaedah bahasa dan kesusasteraan Arab juga adalah benar daripada Allah. Kebenaran kefahaman itu perlulah disokong dengan bukti-bukti lain yang menyokong kefahaman itu.

Daripada nas-nas Quran dan kata perintahnya ulama mujtahid memahami bahawa apa yang diperintahkan Allah itu ada berupa perintah wajib, ada yang harus dan ada yang sunat. Hukum perintah tersebut sama ada wajib, harus dan sunat difahami melalui petunjuk lain yang membuktikan kebenaran hukum-hukum yang dihahami.

Perintah Allah kepada sesuatu pekerjaan menjadi wajib apabila Allah mengancam neraka kepada mereka yang tidak melaksanakan perintahnya. Begitu juga larangan Allah kepada sesuatu perkara menjadikan larangan tersebut hukumnya haram jika sipelakunya diancam dengan ancaman neraka ataupun hukuman berat semasa di dunia.

Al-Quran mengajar umatnya bahwa sesuatu perkara itu wajib dilaksanakan apabila ia dijanjikan azab jika tidak dilaksanakan. Tidak melaksanakan perintah Allah menjadi sebab kemurkaan Allah. Melalui hukum hakam ini Islam mengajar umatnya agar memahami sebab dan musabbab kepada sesuatu hukum.

Qiyas adalah petunjuk hukum dalam Islam , ia adalah kaedah hukum yang menggunakan kekuatan akal untuk memanjangkan hukum yang dinaskan kepada sesuatu perkara, kepada hukum sesuatu perkara lain yang tidak di naskan, apabila wujud sebab atau illah yang sama.

Lahirnya pelbagai ilmu baru setelah diturunkan al-Quran seperti ilmu bahasa, ilmu usul fiqh, ilmu al-Quran, ilmu hadis dan sebagainya adalah bertujuan memandu umat Islam memahami bukti-bukti kepada sesuatu fakta dan hukum.

Islam mendidik umatnya agar memiliki neraca fikir yang betul. Islam mendidik umatnya agar percaya kepada sesutu perkara setelah mempunyai bukti yang kukuh. Sesautu kepercayaan tidak boleh diterima tanpa bukti yang yakin. Setiap kebenaran perlu dibawa bukti kebenarannya. Tanpa bukti semua kenyataan adalah satu pembohongan.

Al-Quran dan Sunnah adalah bukti dan petunjuk kepada pegangan aqidah, hukum-hakam syariah dan didikan akhlak atau sikap manusia yang dikehendaki Allah.

Berasaskan kepada sistem ini, Islam mewajibkan umatnya mencari bukti kepada sesuatu untuk dijadikan landasan dalam semua aspek kehidupan. Termasuk kepada bukti adalah sebab dan musabbab.

Bukti kebenaran adalah tanda-tanda atau ayat-ayat yang membuktikan sesuatu fakta. Al-Quran adalah kalamullah, fakya yang dikhabarkan oleh Allah adalah kebenaran dan orang yang beriman tidak memerlukan bukti kajian nyata untuk mempercayai kebenaran fakta al-Quran.

Dengan ajaran ini Islam telah mengasaskan ilmu-ilmu sains dan teknologi. Sesuatu idea tidak akan menjadi fakta yang dijadikan asas pegangan sehinggalah dibuktikan kebenaran fakta tersebut.

Penemuan-penemuan sains dan teknologi terhadap perkara yang berkaitan dengan sebab dan musabbab, adalah penemuan terhadap sistem yang telah ditentukan Allah untuk alam ini. Ia adalah tanda dan bukti kebenaran Allah yang dapat dilihat.

Menggunakan logik akal untuk memahami sesuatu sebab dan musabbab adalah percambahan metodologi memahami suatu kebenaran yang diiktiraf olehb syariat Islam. Malah al-Quran sendiri menganjurkan umat manusia agar berfikir terhadap diri, alam dan peristiwa dan mengambil pengajaran daripadanya. Islam membebaskan manusia daripada kongkongan padri-padri dan rahib kepada memperhambakan diri kepada Allah.

Sikap masyarakat moden berkaitan agama dan kehidupan amat kontradik. Dalam urusan dunia mereka selalu mencari sebab dan bukti kepada sesuatu kebenaran. Sebaliknya bukti kebenaran tentang kewujudan Allah dan kebenaran al-Quran yang begitu menonjol, mereka memilih untuk tidak percaya dan memilih kekufuran.

Al-Fatihah

alfatihah

Surah pembukaan al-Quran. Ia mengandungi doa kepada Allah agar ditunjukkan jalan kehidupan yang lurus. Sebelum menyatakan permintaan agar ditunjukkan oleh Allah jalan yang lurus, doa ini dimulakan dengan menyebut nama Allah dan penyataan bahawa Allah Maha Pemurah dan Pengasihani. Seterusnya diucapkan pengakuan syukur dan puji-pujian kepada Allah Pencipta, Pemilik, Penguasa, Pemerintah, Pentadbir dan Pengurus alam semesta. Allah yang Maha Pemurah dan Pengasihani dan yang berkuasa pada hari Akhirat.

Kemudian dinyatakan pengakuan bahawa hanya kepada Allah kami menyembah dan hanya kepada Allah juga kami memhon pertolongan.

Setelah itu barulah dipohon satu permintaan yang amat penting di dunai ini,  iaitu agar sentiasa mendapat petunjuk untuk berada di atas kebenaran iaitu berjalan di atas jalan yang lurus sebagaimana yang telah di lalui oleh para nabi, siddiqin, syuhada dan orang-orang soleh bukan jalan golongan yang dimurkai dan disesatkan Allah dari kalangan golongan Yahudi dan Nasrani.

Kepentingan Petunjuk Allah.

Allah yang mencipta alam ini termasuk manusia yang menghuni dibumi sebuah planet yang kecil diantara sistem cakrawala ciptaan Allah. Allah mengetahui kekuatan dan kelemahan manusia. Allah mengetahui apa yang baik dan buruk untuk manusia. Allah menciptakan segala-galanya untuk menguji mansusia dengan ujian agar manusia berjaya melaksanakan tugasnya dengan sebaik-baik pelaksanaan.

Manusia amat memerlukan bimbingan, tunjuk ajar dan didikan Allah. Setiap hari manusia akan membuat keputusan. Setiap keputusan akan mempunyai kesan kepada kejayaan atau kegagalan. Hanya Allah yang boleh memberi petunjuk agar kita membuat keputusan yang betul.

Malah setiap detik manusia membuat keputusan antara benar dan salah, antara utama dan kurang utama, antara segera atau tangguh, antara buat atau tidak, antara teragak-agak atau segera dan sebagainya. Semua keputusan manusia akan memberi kesan kepada kejayaan atau kegagalannya, cepat atau lambat.

Perjuangan nabi Muhammad s.a.w. mengambil masa 23 tahun untuk menyempurnakan penyampaian dan pelaksanaan perintah Allah. Kejayaan nabi kerana kehendak Allah dan kerana mendapat panduan Allah. Al-Quran adalah panduan Allah kepada manusia akhir zaman. Kejayaan manusia menjalani kehidupan ini bergantung sejauhmana manusia melaksanakan tugas mereka menepati ajaran Al-Quran.

Kejayaan mempunyai sebab-sebab yang ditentukan Allah. Allah yang mencipta sebab dan musabbab. Allah yang menunjukkan kepada kita sebab-sebab kejayaan. Apabila kita gagal melaksanakan sebab kejayaan bermakna kita melaksanakan sebab kegagalan.

Kita perlu memiliki ilmu mengenai sebab-sebab kejayaan, kita perlu meyakini ia adalah sebab kejayaan, kita perlu menerimanya sebagai sebab kejayaan kita, kita perlu melaksanakan sebab kejayaan walaupun nafsu kita enggan melaksanakannya, kita perlu bermujahadah melawan halangan nafsu, kita perlu bersabar diatas landasan kebenaran sehingga Allah memberikan kejayaan kepada kita.

Allah yang mengajarkan ilmu kepada kita, Allah yang memberi taufiq kepada jiwa kita agar menerima ilmu kebenaran, Allah yang mengurniakan kekuatan kemahuan, keinginan kepada kita untuk melaksanakan kebenaran dan Allah mempermudahkan anggota badan kita untuk merasa ringan melaksakan kebenaran dan Allahlah yang memberikan kepada kita kekuatan untuk melawan desakan nafsu yang enggan mentaati kebenaran.

Kesemuanya itu adalah nikmat kurniaan Allah kepada kita.

Kesimpulannya.

Allah adalah Pencipta dan Penguasa Alam ini dunia dan akhirat. Manusia adalah hamba Allah yang wajib taat kepada perintah Allah dan hanya memohon pertolongan Allah. Kejayaan di dunia adalah apabila manusia melalui jalan yang yang benar dan lurus. Manusia memerlukan petunjuk Allah untuk sentiasa berada di atas landasan yang lurus. Yahudi, nasrani dan syaitan akan sentiasa memesongkan manusia daripada landasan yang lurus. Maka manusia memerlukan petunjuk Allah yang berupa ilmi, taufik dan inayah Allah. Solat dan sabar mampu memandu orang beriman menuju kejayaan.