Al-Fatihah

alfatihah

Surah pembukaan al-Quran. Ia mengandungi doa kepada Allah agar ditunjukkan jalan kehidupan yang lurus. Sebelum menyatakan permintaan agar ditunjukkan oleh Allah jalan yang lurus, doa ini dimulakan dengan menyebut nama Allah dan penyataan bahawa Allah Maha Pemurah dan Pengasihani. Seterusnya diucapkan pengakuan syukur dan puji-pujian kepada Allah Pencipta, Pemilik, Penguasa, Pemerintah, Pentadbir dan Pengurus alam semesta. Allah yang Maha Pemurah dan Pengasihani dan yang berkuasa pada hari Akhirat.

Kemudian dinyatakan pengakuan bahawa hanya kepada Allah kami menyembah dan hanya kepada Allah juga kami memhon pertolongan.

Setelah itu barulah dipohon satu permintaan yang amat penting di dunai ini,  iaitu agar sentiasa mendapat petunjuk untuk berada di atas kebenaran iaitu berjalan di atas jalan yang lurus sebagaimana yang telah di lalui oleh para nabi, siddiqin, syuhada dan orang-orang soleh bukan jalan golongan yang dimurkai dan disesatkan Allah dari kalangan golongan Yahudi dan Nasrani.

Kepentingan Petunjuk Allah.

Allah yang mencipta alam ini termasuk manusia yang menghuni dibumi sebuah planet yang kecil diantara sistem cakrawala ciptaan Allah. Allah mengetahui kekuatan dan kelemahan manusia. Allah mengetahui apa yang baik dan buruk untuk manusia. Allah menciptakan segala-galanya untuk menguji mansusia dengan ujian agar manusia berjaya melaksanakan tugasnya dengan sebaik-baik pelaksanaan.

Manusia amat memerlukan bimbingan, tunjuk ajar dan didikan Allah. Setiap hari manusia akan membuat keputusan. Setiap keputusan akan mempunyai kesan kepada kejayaan atau kegagalan. Hanya Allah yang boleh memberi petunjuk agar kita membuat keputusan yang betul.

Malah setiap detik manusia membuat keputusan antara benar dan salah, antara utama dan kurang utama, antara segera atau tangguh, antara buat atau tidak, antara teragak-agak atau segera dan sebagainya. Semua keputusan manusia akan memberi kesan kepada kejayaan atau kegagalannya, cepat atau lambat.

Perjuangan nabi Muhammad s.a.w. mengambil masa 23 tahun untuk menyempurnakan penyampaian dan pelaksanaan perintah Allah. Kejayaan nabi kerana kehendak Allah dan kerana mendapat panduan Allah. Al-Quran adalah panduan Allah kepada manusia akhir zaman. Kejayaan manusia menjalani kehidupan ini bergantung sejauhmana manusia melaksanakan tugas mereka menepati ajaran Al-Quran.

Kejayaan mempunyai sebab-sebab yang ditentukan Allah. Allah yang mencipta sebab dan musabbab. Allah yang menunjukkan kepada kita sebab-sebab kejayaan. Apabila kita gagal melaksanakan sebab kejayaan bermakna kita melaksanakan sebab kegagalan.

Kita perlu memiliki ilmu mengenai sebab-sebab kejayaan, kita perlu meyakini ia adalah sebab kejayaan, kita perlu menerimanya sebagai sebab kejayaan kita, kita perlu melaksanakan sebab kejayaan walaupun nafsu kita enggan melaksanakannya, kita perlu bermujahadah melawan halangan nafsu, kita perlu bersabar diatas landasan kebenaran sehingga Allah memberikan kejayaan kepada kita.

Allah yang mengajarkan ilmu kepada kita, Allah yang memberi taufiq kepada jiwa kita agar menerima ilmu kebenaran, Allah yang mengurniakan kekuatan kemahuan, keinginan kepada kita untuk melaksanakan kebenaran dan Allah mempermudahkan anggota badan kita untuk merasa ringan melaksakan kebenaran dan Allahlah yang memberikan kepada kita kekuatan untuk melawan desakan nafsu yang enggan mentaati kebenaran.

Kesemuanya itu adalah nikmat kurniaan Allah kepada kita.

Kesimpulannya.

Allah adalah Pencipta dan Penguasa Alam ini dunia dan akhirat. Manusia adalah hamba Allah yang wajib taat kepada perintah Allah dan hanya memohon pertolongan Allah. Kejayaan di dunia adalah apabila manusia melalui jalan yang yang benar dan lurus. Manusia memerlukan petunjuk Allah untuk sentiasa berada di atas landasan yang lurus. Yahudi, nasrani dan syaitan akan sentiasa memesongkan manusia daripada landasan yang lurus. Maka manusia memerlukan petunjuk Allah yang berupa ilmi, taufik dan inayah Allah. Solat dan sabar mampu memandu orang beriman menuju kejayaan.

 

Leave a Reply