Semua kitab hadis nabi s.a.w. akan dimulakan dengan hadis niat yang diriwayatkan oleh amirul mukminin Umar al-Khattab r.a. yang bermaksud:
” Setiap pekerjaan bergantung dengan niat dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapat keredaan Allah dan rasulnya maka hijrahnya akan mendapat keredaan Allah dan rasulnya. Sesiapa yang berniat hijrah kerana dunia yang diingininya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya akan mendapat apa yang diniatkannya”.
Berdasarkan hadis ini para ulama memahami beberapa hukum berkaitan perbuatan manusia.
Pertama : Kewajiban keikhlasan kepada Allah dalam melakukan amal ibadah.
Kedua : Kewajiban menentukan dengan jelas tujuan amal ibadah untuk memastikan sesuatu amalan itu menjadi sah disisi syarak dan mendapat ganjaran pahala disisi Allah.
Ketiga: Manusia pasti akan memperolehi apa yang diniatkannya.
Niat adalah kuasa dalaman yang menjadi asas kejayaan setiap orang dalam melaksanakan pekerjaannya. Niat adalah permulaan setiap usaha dan amal pekerjaan manusia. Kelemahan dan kegagalan semua usaha manusia disebabkan kesilapan dipermulaannya.
Membetulakan niat adalah asas dalam semua usaha, amal dan pekerjaan manusia. Manusia adalah khalifah Allah. Manusia adalah hamba Allah. Kedua-dua tugas ini memerlukan dua aspek penting dalam daya usaha manusia iaitu keikhlasan dan ketepatan tindakan dengan undang-undang yang telah ditentukan oleh Allah kepada alam ini.
Niat adalah Impian
Niat adalah Matlamat.
Niat adalah Cita-Cita.
Niat adalah Objektif.
Niat adalah Tujuan.
Gabungan niat antara kemahuan dunia dan akhirat akan menyempurnakan perjalanan insan di dunia ini dan menjadikan mereka bahagia dinegeri akhirat.
Kejelasan niat akan membuka ruang kepada minda untuk mencari jalan bagaimana untuk merealisasikannya. Apabila impian seseorang itu besar, semangatnya akan berkobar-kobar sebaliknya jika seseorang itu tidak mempunyai impian yang besar dan indah masanya akan terbuang sia-sia.
” Seseorang itu bukanlah malas, tetapi impiannya yang kecil menjadikannya tidak tahu melakukan apa-apa”.

