Pada satu hari rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki berada di dalam masjid dan bertanya perihal dirinya. Beliau menceritakan bahawa beliau sedih sebab kemiskinan. Lalu rasulullah s.a.w. mengajarkan kepadanya doa ini.
” Wahai Allah, sesungguhnnya aku berlindung denganmu daripada perasaan sedih dan dukacita, perasaan lemah dan malas, sikap bodoh dan kedekut, dibelengu hutang dan di kuasai orang”.
Rasulullah s.a.w. mengajar kita agar menjauhi 8 kelemahan dalaman diri yang menjadi tembok penghalang kepada kejayaan.
1. Sedih dan dukacita
2..Lemah dan malas
3. Bodoh dan bakhil
4. Dibebani hutang dan hamba pemiutang.
Secara fitrahnya manusia memiliki emosi. naluri dan sentimen yang disediakan oleh Allah dalam diri manusia sebagai persediaan untuk menyempurnakan tugas sebagai khalifah di dunia ini. Namun kegagalan menguruskannya dengan betul menjadi penghalang kepada manusia melaksanakan peranan mereka.
Perasaan ingin memiliki pasangan hidup menjadi sebab berkembangnya zuriat manusia, perasaan keperluan kepada makanan dan pakaian menjadikan manusia bekerja untuk memenuhi keperluan mereka. Keinginan untuk merasai kesenangan, kemakmuran, kemewahan dan keunggulan menjadikan manusia meneroka alam ini dan mencipta pelbagai kemajuan untuk memakmurkan dunia ini.
Perasaan sedih dan berduka akan melemahkan semangat dan kemahuan seseorang; bukan sekadar tidak berselera untuk makan malah memberatkan anggota badan untuk keluar bekerja mencari rezki. Sekiranya beliau sedang bekerja akan hilang kesungguhannya dan hilang tumpuan yang menyebabkan tugas tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
Kesedihan adalah perasaan yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh banyak faktur, namun ia perlu ditangani supaya tidak menjadi tembok penghalang kepada kejayaan dalam hidup.
Allah berfirman bermaksud:
” janganlah kamu rasa hina, janganlah kamu bersedih kerana kamulah orang yang tinggi darjat kedudukan sekiranya kamu orang-orang yang beriman”.
Sebagai orang yang beriman dengan qodo dan qodar Allah kita perlu pasrah dan terima sahaja segala keputusan Allah dalam hidup kita. Sabar dan reda terhadap qodo dan kemahuan Allah adalah ubat segala kesedihan.
Setelah itu cubalah mencari sebab-sebab dan punca kepada sesuatu perkara yang memberi kesan kesedihan kepada kita. Itulah pengajaran daripada pengalaman hidup yang lebih berharga untuk diri kita dan untuk kita warisi dalam meneruskan kesinambungan hidup di dunia ini.
Dalam hidup ini kita mempunyai beberapa lingkaran kuasa.
Yang pertama lingkaran yang kita kuasai dan boleh menentukan segala-galanya yang dinamakan lingkaran penguasaan.
Yang kedua lingkaran pengaruh, di mana kita hanya mampu mempengaruhi dengan kuasa yang ada tetapi tetap bergantung kejayaan kepada kekuatan pengaruh kita.
Ketiga sesuatu yang diluar lingkaran kuasa dan pengaruh, iaitu kita perlu mengambil kira segala-gala diluar lingkaran kuasa dan pengaruh kita sama ada untuk berkerjasama, bersaing atau membuat persediaan untuk mengelak daripada kemungkinan wujud risiko dan bersedia menghadapinya dengan plan-plan alternatif.
Maka kita bertanggungjawab terhadap apa yang dibawah kuasa kita, kita boleh mempengaruhi mereka yang dibawah pengaruh kita tetapi kita tidak boleh berbuat apa-apa secara langsung terhadap sesuatu yang diluar lingkaran kuasa dan pengaruh kita.
Kesedihan yang paling dahsyat adalah rasa tidak bahagia dalam hidup, tidak merasa dicintai pasangan hidup atau merasa benci kepada pasangan hidup.
Rasa kesedihan dan dukacita seperti ini mengakibatkan kehidupannya kosong, tiada keseronokan, tiada kegembiraan dan membunuh motivasi dan sebab untuk hidup. Kesannya akan timbul perasaan malas untuk bekerja dan amat malang bagi seseorang yang bekerja sendiri kerana tanpa motivasi diri untuk bekerja tidak ada sesuatu yang boleh dibanggakan akan berlaku.
Perasaan tidak bahagia akan mencetuskan lintasan untuk memenuhi rasa kebahagian, keseronokan dan kenikmatan sementara dengan melakukan perkara yang diharamkan Allah.
Jangan biarkan diri anda bersedih dan berdukacita berpanjangan. Carilah puncanya dan selesaikanlah dengan segera. Periksa punca dalam diri sebelum mencari punca didalam diri orang lain. Mungkin sikap dan tabiat hidup anda menyakitkan hati orang lain dan kesan tindak balasnya menjadikan anda tidak bahagia. Bahagiakanlah orang lain dahulu khususnya pasangan dan keluarga anda nescaya kebahagian akan anda miliki.
Perasaan tidak bahagia adalah perasaan dalaman anda dan penyelesaiannya adalah dengan mencari puncanya di dalam diri anda terlebih dahulu. Kebahgiaan adalah nikmat kurniaan Allah, sekiranya anda tidak merasai nikmat itu kembalilah kepada Allah, periksalah dosa-dosa yang anda lakukan yang boleh mengeruhkan kebahagian hidup pasangan anda.
2. Lemah dan malas.
Lemah semangat juang, lemah kemahuan untuk berusaha, lemah keinginan untuk melakukan perkara-perkara yang boleh mengubah nasib anda adalah disebabkan anda tidak merasa gembira dalam hidup ini. Atau impian anda amat kecil untuk menolak anda berkerja keras.
Keluarlah daripada rumah anda, pergilah mencari kawan dan mentor yang boleh membantu anda mengatasi kelemahan dalaman anda. Janganlah menyalahkan pasangan anda disebabkan kelemahannya. Kemungkinan sikap dan tabiat pasangan anda yang menyakiti diri anda adalah berpunca daripada kelemahan anda sendiri.
Letakkan matlamat dan impian yang besar untuk membahagiakan keluarga dan sanak saudara anda. Pelajarilah strategi dan cara-cara untuk meningkatkan pendapatan anda. Bacalah buku, sertailah seminar-seminar keusahawanan, bergaullah dengan golongan yang telah berjaya dan belajarlah mengenai pemikiran, minda, sikap, tabiat dan aktiviti orang-orang yang telah berjaya sejak mereka mula berusaha dalam kerjaya mereka.
Ketahuilah keuntungan dan kesenangan di dunia ini adalah timbal balas kadar usaha yang anda telah laksanakan.
Ingatlah sabda nabi s.a.w. yang bermaksud: ” Seseorang yang pulang kerumahnya daripada berusaha mencari nafkah untuk keluarganya kepenatan sehingga beliau mendengar rintihan sendi-sendinya akan diampunkan Allah segala dosa-dosanya”.
Rancanglah aktiviti harian anda secara maksima yang boleh menjayakan matlamat hidup anda. Jangan pulang sehingga anda benar-benar memerah seluruh tenaga dan keringat untuk kebahagiaan keluarga dan tersayang.
Sekiranya anda tidak bermujahadah melawan perasaan lemah dan malas dalam diri anda, perasaan itu akan kekal menjadi tembok penghalang kepada kejayaan anda.
3. Bodoh dan bakhil.
Kemiskinan adalah sahabat kejahilan. Basmilah kemiskinan anda dengan membasmi kejahilan dalam pelbagai bidang. Seorang Mufti al-Quds berkata: ” Seorang yang miskin bukan seorang yang gagal merealisasikan impiannya tetapi kemiskinan adalah seseorang yang tidak mempunyai impian”.
Kebodohan yang paling dahsyat ialah tidak tahu apa yang anda mahukan dalam hidup. Lihatlah disekitar anda apakah yang dimiliki oleh orang lain. Adakah apa yang mereka miliki itu satu kebetulan atau itulah yang menjadi impian dan cita-cita mereka sejak dahulu?.
Kejayaan manusia hari ini adalah kerana kejayaan mereka meniru sesuatu yang telah wujud dan berjaya diwujudkan. Mereka melihat sesuatu dan mengimpikan untuk mewujudkan sesuatu yang seumpamanya dan mereka mencari jalan bagaimana untuk mewujudkannya.
Anda mungkin melihat sebuah rumah yang cantik dan ingin memiliki seumpamanya, untuk memilikinya anda perlu membinanya, untuk membinanya anda perlu mencari seorang pelukis plan dan kontraktor yang boleh menyiapkan rumah impian anda. Untuk itu anda memerlukan sejumlah wang untuk membeli tapak rumah, mengupah pelukis plan dan kontraktor yang boleh menyiapkan rumah impian anda.
Untuk mendapatkan wang anda perlu belajar bagaimana orang lain mendapatkan wang. Mungkin ada yang berjaya tidak mempunyai kelulusan seperti yang anda miliki. Mungkin orang yang berjaya di hadapan mata anda adalah seorang yang berhijrah daripada negara luar dan berjaya di sini.
Apakah pengorbanan yang mereka telah lakukan, apakah susah-payah yang telah mereka lalui, apakah sikap-sikap baik yang mereka amalkan apakah anda terlalu bodoh untuk meniru mereka.
Mungkinkan sikap bakhil untuk menggunakan masa yang anda ada, wang yang anda ada, tenaga yang anda ada bagi mempelajari ilmu, menimba pengalaman, melatih sikap-sikap positif yang menghalang anda untuk berjaya.
Buanglah sikap bodoh dan bakhil, merasa diri pandai dan tidak mahu belajar. Belanjalah wang yang ada, tenaga dan masa untuk mencipta peluang kejayaan untuk diri anda.
4. Dikuasai hutang dan hamba hutang.
Sikap tamak, ujub, bangga diri dan ingin menunjuk-nunjuk mungkin menjadi sebab dan punca anda terjebak di dalam kancah hutang yang tidak dapat diselesaikan. Hutang yang anda lakukan mengatasi kemampuan anda membayar balik. Tekanan hutang yang gagal di langsaikan akan menjadi satu bebanan emosi yang kuat keatas diri anda. Ada yang membunuh diri kerana tidak sanggup dikejar pemiutang.
Akhirnya anda menjadi hamba yang bekerja untuk melangsaikan hutang kepada sipiutang.
Segeralah selesaikan bebanan hutang-hutang anda dengan berusaha meningkatkan pendapatan anda atau dengan menyusun semula hutang-hutang anda. Sekiranya anda membeli kereta baru dan terbeban dengan bayaran bulanan eloklah menjualkannya dan menukarkan dengan kereta yang lebih murah atau menjadualkan tempoh bayaran balik yang lebih panjang supaya anda tidak pening kepala memikirkan beban hutang anda.
Senaraikan semua masaalah anda di atas kertas, luahkan bebanan yang anda fikirkan dilembaran kertas supaya tekanan ke atas pemikiran anda berkurangan. Carikan punca kepada semua masalah yang anda tulis dan cuba senaraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk menyelesaikan masalah anda.
Mulakan dengan tabiat buruk anda yang menjadi punca kegagalan anda. sikap-sikap negatif anda dan pemikiran-pemikiran yang negatif yang selalu menghantui anda. Senaraikan kesalahan-kesalahan yang anda telah lakukan kepada Allah, isteri, anak-anak, ibu-bapa, jiran, kawan dan sebagainya.
Mungkin musibah yang menimpa anda adalah disebabkan dosa-dosa anda yang lalu. Kembalilah kepada Allah, sedarlah bahawa kita tidak boleh lari daripada kehendak dan kuasa Allah. Insaflah bahawa sebagai hamba kita perlu taat dan bersyukur kepada Allah. Kita perlu bersabar atas segala ujian yang menimpa kita yang semuanya akibat kelalaian diri kita sendiri. Beristighfarlah terhadap semua dosa-dosa yang telah kita lakukan dan bertaubatlah dengan sungguh-sungguh. Berazamlah untuk tidak kembali lagi kepada dosa yang telah dilakukan.
Mungkin anda tidak mampu untuk meninggalkan semua tabiat buruk sekaligus. Lakukanlah beransur-ansur dan berterusan. Berdoalah agar Allah memberi kekuatan. Carilah sahabat dan guru yang boleh membimbing anda atau berhijrahlah kekawasan lain yang boleh memberikan suasana baru kepada anda untuk memulakan kehidupan baru yang lebih baik.

