
Itu adalah ciri ke 9 daripa 10 ciri individu muslim yang ingin dilahirkan oleh imam as syahid Hassan al-Banna dalam proses kerja-kerja dakwah dan tarbiah Jamaah Ikhwan al-Muslimin. Iaitu Muslim yang hidup untuk agenda Islam.
Hidup di akhir zaman ini hampir menyamai kehidupan nabi s.a.w. di permulaan Islam. Jika nabi s.a.w di zaman permulaan dakwah baginda menghadapi manusia yang terikat dengan sistem jahiliah, asobiyyah kebangsaan yang sempit, kebanyakan peraturan hidup berasaskan ideologi atau aqidah yang salah, berlaku kezaliman dan penindasan golongan berkuasa ke atas golongan miskin dan hamba sahaya. Malah masyarakat tidak mempunyai agenda yang murni selain daripada menguasai dan memerintah manusia lain dengan kuasa kuku besi. Eropah dan Timur hidup dalam era kegelapan sistem berasaskan nafsu dan terputus daripada bimbingan wahyu Allah.
Nabi s.a.w. telah berjaya mengubah manusia dan mengasaskan tamaddun kemanusiaan yang moden. Islam berjaya membimbing manusia lebih 1200 tahun dalam pelabagai aspek kehidupan. Kitab-kitab fiqh karangan para ulama Islam telah memuatkan tatasusila peradaban hidup manusia dan peraturan daripada isu kebersihan dan hubungan manusia dengan Allah sehinggalah isu kekeluargaan, perekonomian, kenegaraan, peperangan dan perjanjian antara negara, dalam aspek sistem perhubungan sesama manusia.
Setelah dunia dikuasai barat, dunia kembali ditadbir mengikut ideologi ciptaan manusia; kapitalisma, sosialisma, komunisma. libralisma, pragmatisma, humanisma dan hedonisma. Semua ideologi ini menolak ketuhanan Allah sebagai Rab, Malik dan Ilah.
Walaupun penulis-penulis ideologi ini mungkin terkesan dengan ciri-ciri universal Islam yang bersifat rahmat kepada seluruh alam; seperti memerdekakan manusia daripada menjadi hamba kepada manusia, sehingga mereka berjaya menulis undang-undang dan menggerakkan perjuangan menuntut hak-hak asasi manusia, namun mereka dengan sedar atau tidak telah menjadikan manusia diperhambakan oleh hawa nafsu mereka dan Iblis.
Sebagai seorang Islam kita perlu melihat realiti hari ini sebagai satu ujian daripada Allah kepada umat akhir zaman. Umat yang dinamakan Allah sebagai sebaik-baik umat yang dilahirkan ke dunia dan juga dinamakan sebagai “ummatan wasata”, umat yang menegakkan keadilan. Ujian pertama dilalui oleh rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang bersama-sama baginda yang dinamakan Allah sebagai “as sabiqunal awwalun”.
Generasi pertama dibimbing oleh Allah selangkah demi selangkah melakukan perubahan kepada identiti manusia, sistem keluarga, masyarakat, negara dan mengasaskan pembinaan tamaddun manusia moden.
Kita umat akhir zaman menerima Islam dalam keadaan yang telah hancur. Tanah air umat Islam yang bersatu di bawah payung Khalifah telah hancur kepada negara-negara yang berasaskan asobiyyah kenegerian yang sempit, ada sempadan, visa dan sistem yang berbeza-beza yang telah ditinggalkan oleh penjajah. Keadaan ini menjadikan umat Islam lemah dan tidak berdaya untuk menyelamatkan saudara seaqidah yang dibunuh, diperkosa dan disiksa di serata dunia.
Benarlah sabda nabi s.aw. yang bermaksud : ” Islam bermula dalam keadaan pelik dan akan kembali menjadi pelik seperti permulaannya, maka beruntunglah kepada mereka yang bersama Islam ketika keadaannya menjadi pelik” Hadis riwayat Muslim.
Rasulullah s.a.w. juga menegaskan bahawa orang yang beramal untuk Islam ketika ia kembali menjadi pelik menyamai pahala 50 pahala sahabat nabi s.a.w.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abi Tsa’labah al-Khasyani r.a. , telah bersabda nabi s.a.w. : ” Maka sesungguhnya akan datang selepasa kamu hari-hari kesabaran, kesabaran menggenggam Islam waktu itu umpama menggenggam bara api, pahala orang yang beramal dikalangan mereka menyamai pahalah 50 orang yang beramal seumpama amalan mereka. Aku berkata: wahai rasulullah, adakah menyamai pahala amalan 50 dikalangan mereka? Rasulullah bersabda : ” Menyamai 50 pahala amalan dikalangan kamu” Hadis riwayat Abu Daud dan al Tirmizi.
Ganjaran pahala umat Islam yang beramal untuk Islam pada hari ini menyamai pahala amalan 50 orang sahabat nabi s.a.w. menunjukkan kepayahan dan bebanan ujian beramal untuk Islam di akhir zaman ini lebih berat daripada cabaran perjuangan nabi dan para sahabat dipermulaan Islam.
Cabaran Zaman Ini.
- Musuh Islam mendapat nasihat Iblis yang telah berjaya menyesatkan anak-cucu Adam sejak zaman Adam a.s.
- Yahudi Zionis yang dimurkai Allah telah berpengalaman menyesatkan keturunan Isra`il di kalangan penganut Nasrani adalah musuh Islam sejak zaman nabi s.a.w., zaman khulafa al-Rasyidin, Zaman kerajaan Umayyah, Abbasiah dan Uthmaniah.
- Golongan Illuminati ini adalah golongan yang menentang Islam secara terancang dan kini berjaya menguasai sistem ekonomi dan politik dunia .
- Dunia Islam masih terikat dengan sistem sosial, ekonomi dan politik yang digubal oleh musuh Islam ini walaupun sebahagian besarnya dirujuk daripada sumber Islam.
- Umat Islam akhir zaman jauh daripada nabi s.a.w dan memerlukan kekuatan ijtihad untuk merangka manhaj untuk mengembalikan Islam ke tempatnya yang asal.
- Sistem hidup olahan barat di zaman moden ini berjaya menyambung ketamaddunan material yang dimulakan ilmuan Islam namun kemewahan material ini yang berkonfrantasi dengan agama, memisahkan manusia daripada tabiat bersyukur kepada Allah.
- Umat Islam yang belajar dan menerima ilmu daripada sistem barat, terbiasa hidup dalam arena sosial, ekonomi dan politik menggunakan sistem olahan barat sudah merasa selesa terutamanya apabila kenikmatan duniawi menjadi agenda hidup yang utama.
Perjuangan Islam di akkhir zaman ini bukan memerangi ketamaddunan kebendaan yang boleh memudahkan urusan manusia tetapi mengajak manusia bersyukur kepada Allah di atas nikmat ketamaddunan ini yang telah disediakan Allah sejak azali. Perjuangan untuk mengembalikan manusia kepada Islam dan bersyukur kepada Allah yang Esa adalah perjuangan yang pelik pada zaman ini.
Maka muslim yang memilih hidup bersama Islam walaupun pelik daripada kebiasaan hidup manusia lain yang hidup dalam sistem acuan barat akan merasakan beban tanggungjawab dan kerja yang perlu dilakukan terlalu banyak. Imam al-Banna menghuraikan kerja-kerja Islam akhir zaman ini dalam risalah at Taklim, untuk ahli Ikhwan al-Muslimin.
Kerja yang terlalu banyak perlu disusun keutamaannya, setiap pekerjaan ada cara yang betul dan terbaik yang perlu dilaksanakan untuk mencapai matlamatnya maka untuk itu setiap muslim perlu memiliki tabiat hidup yang terancang dan tersusun.
Tidak dinafikan antara kekuatan musuh Islam adalah mereka berjaya membangunkan ilmu, sikap dan tabiat hidup yang tersusun dalam menguruskan kehidupan dan perjuangan mereka. Mereka yang mencipta senario kehidupan manusia akhir zaman termasuk umat Islam, mereka menulis skrip lakonan kehidupan umat manusia dan mereka berada di luar kotak sistem mengatur dan mencatur sesuka hati mereka. Mereka berlagak seperti tuhan yang menentukan perang dan damai, kalah dan menang dan mengagihkan kekayaan dunia sesuka hati mereka. Mereka berjaya memperhambakan manusia apabila manusia bertuhankan kebendaan dan hawa nafsu.
Islam tidak akan berjaya di martabatkan selagi pejuang-pejuangnya terikat dan terbelengu dalam kotak sistem olahan Illuminati ini. Kejayaan Islam adalah berjaya mengeluarkan manusia daripada hamba kepada sistem Illuminati kepada hamba Allah dan sistemNya. Keluar daripada perhambaan kepada nafsu dan materialistik kepada perhambaan mutlak kepada Allah.
Sejak daripada awal Islam, nabi s.a.w. mendidik umat Islam dan membudayakan hidup bersistem berasaskan Islam; dengan memiliki neraca nilai kebenaran tersendiri, memiliki akhlak dan budaya hidup tersendiri, memiliki adab dan peraturan hidup tersendiri yang hanya menyerah kepada Allah s.w.t secara mutlak. Sistem hidup yang berasaskan kepada keimanan kepada Allah, keyakinan pada hari akhirat dan meperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah dengan ikhlas, mengagungkan Allah dengan penuh kesyukuran.
Maka untuk mendapat pahala amalan 50 orang sahabat, umat Islam akhir zaman perlu beramal untuk menjayakan agenda Islam; iaitu Islam menjadi guru kepada dunia dengan menjadikan dunia seluruhnya dikuasai dan diperintah oleh sistem Islam.
Langkah pertama dalam usaha itu adalah dengan menjadi muslim yang hebat dalam keilmuan, akhlak dan sikap, semangat juang berkobar-kobar dan beramal untuk Islam.
Sebelum melangkah, perlulah dimulakan dengan membuat perancangan hidup dan menentukan aktiviti yang perlu dilakukan daripada sekarang sehingga anda menemui Allah; sama ada dengan kemenangan Islam atau anda gugur dalam beramal, berjihad dan berkorban untuk Islam. Bacalah lebih lanjut tulisan saya dalam buku yang dipamirkan di atas.
