Buatlah Keputusan dan Tawakkal

usahawan

“kemudian apabila engkau telah beraszam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah.”Ali Imran:159.

Manusia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kehidupan di dunia ini. Kejayaan dan kegagalan hidup dalam semua aspek adalah tanggungjawab mereka. Manusia perlu membuat pilihan, membuat keputusan dan melakukan segala keputusannya kemudian mereka bertanggungjawab terhadap segala kesan akibat segala pilihan, keputusan dan tindakan mereka.

Inilah maksudnya seorang “mukallaf”.

Allah Pencipta semesta alam telah menyediakan segala-galanya. Segala keperluan untuk hidup yang berupa rezki dan nikmat dan keupayaan manusia untuk belajar, berfikir, menganalisa, mengandaikan sesuatu, membuat pilihan, membuat keputusan dan tindakan.

Maka tidak timbul persoalan untuk menyalahkan ‘takdir’ apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini. Mungkin berlaku juga perkara-perkara yang tidak diingini setelah segala perkara yang boleh menjayakan sesuatu dan menyalamatkan sesuatu daripada kesilapan telah dipenuhi.

Di sinilah aspek kekurangan mansusia, kita hanya boleh merancang, menyusun dan membuat keputusan terhadap sesuatu tetapi akal manusia tetap terbatas, tindakan manusia juga boleh terpengaruh dengan keinginan nafsu yang bercanggah dengan akal lantas segala yang direncanakan tidak berjalan mengikut perancangan yang telah diatur.

Satu aspek lagi manusia hanya mampu menguasai dirinya dan cuba mempengaruhi seseorang dan sesuatu di bawah pengaruhnya tetapi di sana ada keadaan, sesuatu, manusia, alam yang diluar kuasa kawalan dan pengaruhnya.

Antaranya bisikan iblis, musuh-musuh dalam kehidupannya , pesaing dalam hidupnya, manusia yang irihati, manusia lain yang tidak berdisiplin dan bencana alam yang diluar kawalan.

Mungkin seseorang itu telah menyusun sesuatu dengan baik untuk dirinya dan sesiapa dibawah pengaruhnya, tetapi mereka yang berada dibawah pengaruhnya tidak menjalankan tindakan sesuai dengan kehendaknya. Kesannya apa yang hendak dicapai tidak berlaku mengikut apa yang dikehendaki.

Inilah realiti kehidupan yang menjadi medan ujian kepada manusia. Ujian untuk memilih cara yang betul, ujian untuk membuat keputusan yang betul, ujian untuk bertindak dengan betul, ujian untuk mempengaruhi orang lain agar bertindak sejajar dengan kehendak keputusannya yang betul, ujian untuk mengelak daripada kesilapan, ujian untuk menghadapi persaingan dan kelemahan pihak lain.

Persaingan adalah sunnah kehidupan untuk kebaikan lebih besar kepada alam ini sekiranya ia berlaku secara positif.

Petikan ayat surah Ali Imran di atas merupakan perintah Allah SWT kepada nabi SAW untuk bermesyuarat dengan sahabat-sahabat baginda dalam urusan pemerintahannya. Apabila keputusan telah dibuat, teruskanlah melaksanakan keputusan tersebut dan berserahlah kesannya kepada Allah SWT.

Perintah ini adalah penegasan Allah setelah nabi SAW tewas dalam peperangan Uhud dengan kaum musyrikin Mekah, sedangkan semua strategi dan keputusan peperangan adalah hasil baginda  bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya.

Kejayaan dan kekalahan mempunyai banyak faktur, walaupun sudah cukup analisa, strategi, kekuatan, peralatan dan sebagainya mungkin masih ada aspek-aspek lain yang tidak dicukupi yang menjadi punca kegagalan.

Kegagalan kali pertama bukan bererti kegagalan untuk selama-lamanya tetapi yang utama ialah anda perlu belajar dan mencontohi pemikiran, perasaan, sikap dan inisiatif orang yang telah berjaya dan memperbaiki kelemahan yang ada kerana akan tiba saat kejayaan untuk anda.

Setelah belajar, berfikir, membuat latihan bertubi-tubi dalam semua putaran dan fasa tindakan berserahlah kepada Allah memohon dipermudahkan usaha, diselamatkan daripada segala khianat dan rintangan. Kita boleh merancang untuk diri kita tetapi kita tidak mampu mempengaruhi sesuatu di luar kawalan kita.

Leave a Reply