Kita umat Muhammad s.a.w. adalah pewaris perjuangan baginda. Kita umat istimewa, umat pertengahan yang diisytiharkan sebagai sebaik-baik ummah. Apakah kita tahu? apakah kita sedar? dan adakah kita telah menunaikan amanah ini dengan betul dan bersungguh-sungguh?
Allah Mahu kita mengharungi perjuangan membawa manusia hanya menjadi hamba kepada Allah dan menegakkan SyariahNya di dunia ini. Tugas kita di akhir zaman ini, sama seperti tugas-tugas yang pernah dilaksanakan oleh nabi dan rasul terdahulu; Nuh, Hud, Soleh, Ibrahim, Lut, Ishaq, Yaakub, Yusuf, Musa, Isa alaihimus salam dan sebagaimana jalan yang ditunjukkan oleh nabi kita Muhammad s.a.w.
Cuma perjuangan kita di akhir zaman ini lebih berat, kerana kita memikul tugas menyediakan tentera Imam al Mahdi untuk menundukkan rejim dajjal yang belum selesai. Tugas kita menjadi berat kerana manusia yang menerima taklimat Iblis lebih bijak, berperancangan dan licik. Strategi Iblis tidak pernah berubah, menghalang manusia daripada beriman kepada Allah dan RasulNya, mengkufurkan orang yang beriman, mendorong mereka terjebak kedalam perkara bidah yang sesat, mendorong mereka terjebak melakukan dosa besar, melalaikan mereka dalam dosa-dosa kecil, membiarkan mereka leka dalam perkara-perkara harus dengan berlebihan dan memastikan mereka hidup bersahaja tanpa perancangan dan tidak jelas agenda yang lebih utama dalam hidup.
Hari ini, Ramadhan datang lagi menjadi tetamu kita. Tetamu yang mengajak kita untuk memperbaiki kesihatan badan, kesihatan minda, kesihatan jiwa, kesihatan sikap dan akhlak melalui memperbaiki hubungan kita dengan Pencipta yang menghantar tetamu ini kepada kita.
Agenda Allah untuk mendidik kita telah di tetapkan; lima kali fardu solat untuk berikrar dan bermunajat dalam sehari semalam. Sekali pertemuan masyarakat bersilaturrahim dan mendengar nasihat dan motivasi perjuangan dalam seminggu dihari Jumaat.
Kini dibulan Ramadhan segala-galanya itu diraikan dengan mengosongkan perut disiang hari, direhatkan anggota penghadaman daripada berkerja sepanjang hari dibulan selain Ramadhan, di lemahkan nafsu syahwat dalam badan supaya kemenangan pertembungan dalam jiwa berpihak kepada dorongan keimanan. Allah juga menambat segala syaitan yang mendorong manusia melakukan kejahatan supaya tidak ada lagi bisikan kejahatan di dalam jiwa yang datang daripada makhluk jin ini. Allah juga memberi motivasi kepada kita untuk memperbanyakkan gerakan anggota zahir dan batin untuk melakukan amal-amal kebajikan supaya jiwa kita mencapai darjat ketakwaan.
Ada yang menerimanya sebagai adat kebiasaan menerima tetamu yang datang setiap tahun, lalu ditunaikan segala kewajibannya sebagai tuan rumah secara biasa. Ada yang meraikannya dengan pelbagai jamuan yang tidak pernah dirasainya sepanjang tahun. Ada yang sudah menyiapkan persiapan untuk meraikan kepulangan tetamu dengan menyediakan persalinan baru kepada seisi keluarga hingga kepada perabut, cat dan langsir rumah.
Makan untuk membolehkan tulang belakang tegak bagi melaksanakan ibadah itu adalah wajib, makan sehingga kenyang itu harus, makan melebihi keperluan badan adalah membazir. Setiap pembaziran sehingga seberat atompun akan dicatat dan ditulis sebagai satu pembaziran. Allah Taala sudahpun ingatkan kita bahawa pembazir adalah saudara syaitan.
Sesiapa yang menunaikan ibadah solat, tilawah al-Quran, bersedekah, saling menasihati dengan kebenaran dan sebagainya pada bulan ini akan merasai kebahagiaan rohani yang tidak dirasainya pada bulan-bulan yang lain. Bulan Ramadhan adalah bulan terbaik untuk kita bermuhasabah bagi mengenal pasti kekurangan diri supaya kita tahu sebab-sebab yang menjadikan kita gagal, lambat berjaya atau tidak berubah ke mana-mana dan memperbaikinya.
Mungkin kita tidak memiliki ilmu yang betul atau pengalaman yang tepat, mungkin kita tidak memiliki sikap dan tabiat yang cemerlang, mungkin juga proses kerja yang kita lakukan tidak konsisten dan tidak efisyen mungkin juga kita tidak tahu langsung ke mana halatuju hidup dan kerja-kerja seharian kita kerana selama ini kita tidak pernah berfikir disebabkan semua jadual hidup dirancang dan disusun oleh orang lain untuk kita atau anda memang tidak pernah berfikir untuk merancang agenda kehidupan di dunia ini. Atau mungkin hidup anda hanya merancang dan berfikir sebuah agenda yang hendak diberikan kepada orang lain, sedangkan anda duduk diawang-awangan jarang mencemarkan duli hidup bersama mereka yang celaru antara menjayakan impian anda dengan kemampuan ilmu, rohani, sikap, tabiat yang mereka ada dan kejelasan peta perjalanan yang mereka miliki.
Kita masih memiliki tanahair dan kuasa politik tetapi kita tidak memilki kekuatan ekonomi, tidak memiliki kekutan sosial dan pendidikan. Generasi belia dan keluarga baru amat lemah hingga umat Islam sudah tidak punya masa lebih untuk berfikir mengenai perjuangan nabi s.a.w. yang belum selesai kerana masih mundar mandir mengejar impian hidup dunia yang belum tercapai. Lebih malang lagi masih ada yang hidup menjadi hamba gaji majikan sedar kais pagi makan pagi.
Dulu penjajah datang menguasai tanahair kita, menggali dan memunggah segala bijih besi, bijih timah, bijih emas bagi membangunkan industri dan mengkayakan dunia mereka. Dulu penjajah membawa masuk pelbagai bangsa untuk menjadi pekerja dalam agenda mereka merampas segala hasil bumi yang tertimbus dan menggondolkan tanah-tanah kita untuk ditanam dengan getah.
Anak bangsa kita dipilih diajar, dilatih dan diberi upah untuk menjadi kerani, pengutip cukai dan penjawat awam bagi memudahkan agenda mereka melakukan rampasan hasilbumi. Apabila kita dibebaskan untuk memerintah sendiri tanahair kita apakah kejayaan yang kita boleh banggakan?
94% bangunan-bangunan yang ada di bandar-bandar kita semuanya milik bangsa-bangsa lain? 60% kekuatan ekonomi bukan milik kita? 40% lebih penguasaan ekonomi bangsa kita adalah milik syarikat-syarikat kerajaan? Daripada puluhan jutawan rakyat negara ini hanya dua tiga orang individu muslim? Kita umat Islam golongan majoriti tetapi siapakah yang menyediakan bekalan makanan, minuman, pakaian, kenderaan kita?
Ramadhan datang lagi, dan kita sambutnya bagai pesta yang diciptakan kepada kita. Apa kita mahu? Ke mana hala tuju kita? Apakah ertinya lailatul qadar kepada kita jika perjuangan kita bukan pada landasan sebenar yang sepatutnya kita gerakkan? Zionis yang menjadi topeng Iblis masih menguasai dunia dan ketawa melihat warisan umat Muhammad yang keliru.
